Friday 15 November 2013

Menerokai zaman ais purba


Kanak-kanak Tabika Kemas terpegun melihat replika makhluk yang telah pupus pada pameran Pengalaman Zaman Ais di Pusat Sains Negara, Gunung Keriang, Kedah. – UTUSAN/Halim Khalid


ALOR SETAR 14 Julai – Pameran yang ditunggu-tunggu ramai. Barangkali itu boleh digambarkan tentang pameran Pengalaman Zaman Ais yang berlangsung di Pusat Sains Negara cawangan Wilayah Utara di sini sejak 5 Jun lalu dan dijangka berakhir 30 November ini.
Lebih menarik apabila pameran yang julung kali diadakan itu membolehkan pengunjung terutama di kalangan pelajar dan kanak-kanak mengembara jauh sehingga ke alam sejuta tahun dahulu.
Pameran ini turut memukau pengunjung apabila mereka berpeluang bertemu haiwan purba termasuk dinosaur, gajah mamot dan hidupan marin zaman purba yang ‘dihidupkan’ kembali melalui penggunaan teknologi animatronik.

Demikian kelebihan sains yang memberi peluang kepada pengunjung untuk menambah pengetahuan berkaitan zaman tersebut dan wajar diambil kesempatan oleh orang ramai terutama para pelajar untuk menerokai zaman silam.
Menurut Pengurus Cawangan Pusat Sains Negara Cawangan Wilayah Utara, Mohamad Nazrin Yahaya, pihaknya mengambil inisiatif mengadakan pameran tersebut dalam usaha menyalurkan maklumat berhubung zaman ais yang penuh keunikan itu.
“Orang ramai pasti terpesona dengan pameran yang memberikan pandangan yang mengujakan berkisar tentang zaman ais sekitar 1,000,000 tahun dahulu.
“Ia secara tidak langsung menambah pengetahuan mereka tentang zaman Pleistosene itu,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, apa yang lebih istimewa adalah penduduk di negeri ini dan di utara tanah air tidak perlu lagi berjalan jauh sehingga ke ibu kota untuk menyaksikan sendiri pameran seperti itu.
“Pameran ini diharapkan dapat memanfaatkan penduduk. Jadi janganlah ketinggalan untuk menyaksikan sendiri makhluk mega fauna ini,” katanya lagi.
Selain dinosaur yang cukup sinonim dengan zaman ais, katanya, turut dipamerkan ialah makhluk mega fauna lain yang telah pupus seperti kucing purba, ‘giant ground sloth’ dan ‘mastodon’.
Dalam pada itu, katanya, pameran itu turut mengujakan 80 kanak-kanak dua buah pusat bimbingan kanak-kanak (Tabika) iaitu Tabika Kemas Kubur Panjang dan Tabika Kemas Padang Terap yang hadir ke pameran itu, baru-baru ini.
Lawatan tersebut adalah inisiatif daripada pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Tiang, Suraya Yaacob, demi memberi peluang kepada kumpulan itu menimba pengalaman baru.
Menurut Suraya, lawatan tersebut mendedahkan kanak-kanak terbabit dengan pelbagai maklumat mengenai zaman air.
“Sebelum ini mereka hanya melihat dalam filem dan televisyen serta membacanya dalam buku sahaja tetapi kali ini mereka boleh melihat di depan mata sendiri.
“Suasana pameran juga sangat kondusif. Memberi gambaran tentang zaman tersebut melalui penggunaan teknologi memang cukup berkesan. Jika saya sebagai orang dewasa juga teruja, apatah lagi kanak-kanak,” katanya yang turut serta dalam lawatan tersebut.
Kata beliau, pihaknya akan memperbanyakkan lagi aktiviti seumpama itu dalam memastikan kanak-kanak terutama di kawasan luar bandar berpeluang menimba pelbagai bidang ilmu.
Pameran tersebut beroperasi setiap hari Sabtu hingga Khamis bermula 9 pagi hingga 5 petang.
Bayaran masuk dikenakan adalah RM2 untuk dewasa, kanak-kanak (4 hingga 12 tahun) dan warga emas (60 tahun ke atas) RM1, manakala kanak-kanak berusia di bawah tiga tahun dan orang kurang upaya (OKU) pula percuma.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0715&pub=Utusan_Malaysia&sec=Utara&pg=wu_01.htm#ixzz2klHR0Gp2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment